Official Press Statement from SPR regarding Registration of Students to Vote from Overseas

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

PENDAFTARAN PEMILIH BAGI WARGANEGARA MALAYSIA YANG BERADA DI LUAR NEGARA 

Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, memperuntukkan kepada warganegara Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas yang berada di luar negara untuk mendaftar sebagai pengundi tidak hadir (PTH) .
MUAT TURUN BORANG A dan LAMPIRAN MAKLUMAT TAMBAHAN

Ia tertakluk kepada jika mereka adalah daripada kalangan berikut:

(a) penjawat awam  yang sedang menjalankan tugas di luar sempadan Semenanjung Malaysia atau Sabah atau Sarawak;

(b) pasangan kepada penjawat awam yang sedang menjalankan tugas di luar sempadan Semenanjung Malaysia atau Sabah atau Sarawak;

(c) pelajar yang sedang belajar sepenuh masa di mana-mana universiti, maktab latihan atau mana-mana institusi pendidikan tinggi di luar sempadan Semenanjung Malaysia atau Sabah atau Sarawak; atau

(d) pasangan kepada yang sedang belajar sepenuh masa di mana-mana universiti, maktab latihan atau mana-mana institusi pendidikan tinggi di luar sempadan Semenanjung Malaysia atau Sabah atau Sarawak.

Walau bagaimanapun bagi mana-mana warganegara Malaysia yang berada di luar negara tetapi tidak layak untuk mendaftar sebagai PTH masih boleh mendaftar sebagai pengundi biasa. Bagi tujuan membantu SPR dalam urusan pendaftaran pemilih di luar negara ini, SPR telah melantik Penolong Pendaftar Pemilih di semua pejabat perwakilan Malaysia di luar negara. Semua warganegara Malaysia yang berada di luar negara yang hendak mendaftar sebagai PTH atau pengundi biasa boleh mengemukakan permohonan pendaftaran melalui Penolong Pendaftar Pemilih yang telah dilantik.Untuk memberi kemudahan pendaftaran kepada semua warganegara Malaysia di luar negara yang termasuk para pelajar yang tinggal jauh daripada pejabat perwakilan Malaysia untuk mendaftar sebagai pemilih, SPR menyediakan kemudahan untuk memuat turun  Borang A (Borang Pendaftaran Pemilih) dan  Lampiran Maklumat Tambahan (alamat dan status di luar negara) daripada laman web SPR.

Borang A dan Lampiran Maklumat ini hendaklah diisi dan disertakan dengan salinan MyKad atau salinan pasport antarabangsa dan salinan kad  pelajar dan dihantar kepada Penolong Pendaftar Pemilih ini melalui pos, faks atau e-mel kepada Penolong Pendaftar Pemilih di pejabat perwakilan yang berkenaan.

Penolong Pendaftar Pemilih yang telah menerima Borang A serta dokumen yang disertakan akan menghantar kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

Setiausaha SPR 

-kenyataan rasmi boleh di akses pada laman utama SPR atau mengikuti http://www.naztech.my/spr.gov.my/images/stories/PENDAFTARAN_SEBAGAI_PEMILIH_luar_negara_III.pdf