Presiden George W. Bush bersama Tun Abdullah Badawi di Oval Office, Rumah Putih (White House).
Isnin, 19 Julai 2004
Gambar dari: Arkib Rumah Putih
Disebalik kebebasan media hingga sistem kerajaan digital yang rakyat Malaysia nikmati hari ini, sebenarnya datang daripada seorang lelaki yang lebih suka bekerja dalam diam, tanpa beriya-iya mengejar perhatian. Seorang Perdana Menteri yang dipandang sebelah mata oleh banyak orang, tetapi jasanya masih terus dirasai, walaupun ramai yang lupa atau tidak tahu siapa yang di belakang semua itu.
Tun Abdullah Ahmad Badawi, atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, mungkin bukan nama yang selalu muncul dalam perbualan politik hari ini, terutama dalam kalangan Gen Z atau generasi muda hari ini. Tidak trending di sosial media, tiada dokumentari di Netflix, dan tidak juga menjadi perbualan hangat setiap hari. Namun, jika kita selami lebih dalam, legasi beliau di pentas politik Malaysia adalah lebih besar daripada apa yang kelihatan. Dari dasar-dasar yang memperkasa rakyat, mengangkat demokrasi, hingga ke kempen yang mengubah budaya masyarakat, Pak Lah bukan sekadar ‘pemimpin sementara’. Beliau adalah seorang wira yang banyak mencorakkan arah tuju negara kita, walaupun jarang sekali menerima pengiktirafan yang sepatutnya.
Siapa Pak Lah dan Zaman Peralihannya
Dilahirkan pada 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Bapa beliau, Ahmad Badawi, adalah seorang tokoh agama dan ahli politik. Datuk beliau, Syeikh Abdullah Badawi Fahim, merupakan ulama tersohor yang juga mufti pertama Pulau Pinang. Menjadikan Pak Lah seseorang yang datang dari keluarga berlatarbelakangkan agama.
Pak Lah mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada tahun 2003, menggantikan Tun Dr. Mahathir yang telah memimpin selama 22 tahun. Pak Lah hadir dengan gaya sederhana, wajah tenang dan mesej yang menyejukkan suasana. Mengejutkan rakyat Malaysia kerana dibandingkan dengan pemerintahan Tun M yang lebih keras dan lantang. Beliau memenangi hati rakyat pada Pilihan Raya Umum 2004 dengan kemenangan besar Barisan Nasional, terbesar dalam sejarah Malaysia. Barisan Nasional memenangi 198 daripada 219 kerusi parlimen, 90%.
Gambar dari: Reuters/Bazuki Muhammad
Zaman beliau adalah era harapan baru, bukan kerana kempen agresif, tetapi kerana rakyat melihat sinar alternatif yang membawa nafas perubahan.
Polisi, Pembaharuan, dan Darjat Demokrasi.
Antara sumbangan paling dikenali Pak Lah adalah konsep Islam Hadhari. Islam Hadhari adalah slogan kerajaan sama seperti 1 Malaysia dan Malaysia Madani. Islam Hadhari bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang maju dan terbuka, bukan semata-mata fokus pada ritual, tapi juga pembangunan akal dan akhlak. Konsep ini membawa kepada banyak kempen sosial, iaitu cara halus beliau membentuk rakyat. Kejayaan negara tidak boleh hanya diukur melalui bangunan pencakar langit atau infrastruktur mewah. Harta yang tidak ternilai harganya bagi sesebuah negara adalah rakyat yang tinggi ilmu, akhlak, dan sahsiah. Itu pegangan Pak Lah.
Mungkin kita masih ingat, kempen seperti Tak Nak Merokok yang anda lihat sewaktu bersekolah dulu atau lagu Budi Bahasa Budaya Kita nyanyian Siti Nurhaliza, itu semua datang dari cetusan idea Pak Lah. Kempen-kempen ini wujud melalui pendidikan dan media, tanpa sebarang pendekatan yang keras. Terkenal dengan gelaran ‘Mr. Clean’, Pak Lah juga mengasaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang menjadi salah satu agensi penting dalam membentuk Malaysia yang lebih berintegriti.
Jika anda pernah ke MAEPS atau rajin ke pasar tani atau pasar malam, mengikut ibu anda membeli sayur atau buah-buahan, pasti anda pernah melihat slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ di khemah khemah pasar tersebut sehingga hari ini. Jangan terkejut jika saya katakan, itu juga ciptaan Pak Lah. Isu keterjaminan makanan atau ‘food security’ yang sedang Malaysia hadapi hari ini, yang sedang menjadi isu hangat hari ini, telah dijangka oleh Pak Lah 20 tahun lalu. Pak Lah membuka pintu peluang baharu buat petani dan peladang di Malaysia, bukan melalui pertanian tradisional, tetapi gabungan teknologi dan profesional untuk merevolusikan sektor pertanian.
Gambar dari: BERNAMA
Darjat demokrasi juga diangkat sewaktu pemerintahan Pak lah. Pak Lah terkenal dengan komitmen beliau kepada kebebasan media. Media merupakan kuasa keempat (fourth estate) dalam memastikan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat. Tun M dan Pak Lah datang daripada parti politik yang sama, tetapi pemerintahan mereka berdua jauh berbeza, lebih-lebih lagi dari sudut kebebasan media dan ruang bersuara. Era Pak Lah menyaksikan ledakan media alternatif, seperti Malaysiakini, The Malaysian Insider, atau blog politik bebas yang menjadi sumber rakyat mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber. Tidak hanya melalui media arus perdana.
Kontroversi & Cabaran
Namun, tidak semua perjalanan Pak Lah mudah. Tahun 2007 menyaksikan kebangkitan gelombang rakyat yang mendesak pembaharuan sistem pilihan raya. BERSIH 1.0 — himpunan aman pertama yang menuntut pilihan raya yang bebas dan adil, berlangsung pada 10 November 2007, semasa pentadbiran Pak Lah.
Lebih 40,000 rakyat turun ke jalan raya, termasuk tokoh-tokoh seperti Ambiga, Anwar Ibrahim dan Mat Sabu. Demonstrasi itu akhirnya disuraikan dengan gas pemedih mata dan meriam air. Walaupun himpunan itu aman, tindakan keras pihak berkuasa mengundang kritikan terhadap pentadbiran Pak Lah
.
Perhimpunan Bersih, 10 November 2007. Dihadiri oleh kira-kira 30 ribu orang. Berkumpul di Masjid Negara dan SOGO, sebelum berarak ke Istana Negara
Gambar dari: Wikipedia
Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku barisan hadapan Perhimpunan Bersih 2007.
Gambar dari: CNN.
Ramai melihat ini sebagai titik mula ketidakpuasan rakyat terhadap kepemimpinan beliau. Media mula berubah nada, suara rakyat semakin lantang. Ini juga membuka jalan kepada kekalahan besar Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 2008, di mana mereka hilang majoriti 2/3 buat pertama kali sejak Merdeka.
Selepas keputusan mengejut PRU 2008, tekanan dari dalam parti UMNO, termasuk dari tokoh seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun M kian memuncak, mendesak Pak Lah untuk melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri. Akhirnya, Pak Lah mengumumkan pengunduran beliau pada tahun 2009, menyerahkan kuasa kepada Dato’ Seri Najib Razak.
Beliau undur tanpa drama, tanpa menyalahkan sesiapa. Sebaliknya, beliau tinggalkan nota kepada penggantinya dengan satu amanah: “Usaha kita memajukan negara, itu sebenarnya adalah matlamat perjuangan kita.” Gaya beliau sentiasa konsisten, tenang, sederhana, tapi tetap berprinsip.
Legasi
Perginya Pak Lah pada 14 April 2025 lalu, meninggalkan banyak jasa dan legasi yang bernilai untuk pembangunan nusa bangsa.
- Sistem digital dalam pentadbiran kerajaan – bermula zaman beliau melalui e-Government.
- Penekanan terhadap integriti dan ketelusan – walaupun masih ada cabaran tentang rasuah dan integriti pada hari ini, benihnya ditanam beliau.
- Islam Hadhari – walaupun tidak disebut secara rasmi hari ini, pendekatan berkenaan pembangunan modal insan terus menjadi asas dalam mana mana dasar kerajaan.
Dan yang paling penting, adalah contoh dan tauladan kepimpinan yang bersih, tidak mementingkan populariti, dan mengotakan janji (walk the talk).
Dalam Terang Beliau Sembunyi
Pak Lah bukanlah pemimpin yang sentiasa hangat, beliau juga bukan yang sering marah-marah di depan kamera, atau mencipta naratif besar tentang diri sendiri. Tetapi beliau mewariskan satu contoh kepimpinan yang jarang kita temui hari ini, pemimpin yang meletakkan rakyat di depan, dan diri di belakang.
Sebagai generasi muda, mungkin kita langsung tidak pernah alami zaman pemerintahan beliau, atau kita masih kecil sewaktu itu untuk mengerti. Namun, ‘air tangan’ beliau masih kita rasai dan menjadi nikmat yang kita kecapi hari ini.
Beliau tidak sempurna, tetapi beliau ikhlas dalam memimpin. Dalam dunia yang bingit dengan pancaroba politik, mungkin sosok seseorang seperti beliau, seorang pemimpin yang jujur, itu yang kita perlukan hari ini.
Dalam Terang Beliau Sembunyi adalah tepat untuk saya menggambarkan insan bergelar Pak Lah. Menggambarkan jasa beliau yang jelas kelihatan di depan mata, tetapi tidak diberi perhatian yang sepatutnya.
Beliau tidak ghaib atau hilang, tetapi dalam terangnya pentas politik, beliau tersembunyi dalam lipatan sejarah, yang tidak ramai daripada kita yang mahu selak kembali lipatan itu. Terima kasih atas segala jasa, jasamu dikenang.
“Kita tidak mahu menjadi negara dengan infrastruktur kelas pertama,
tetapi mentaliti kelas ketiga”
Tun Abdullah Badawi
Belasungkawa Pak Lah, pemimpin merendah diri.
Muhammad Iman Hakimi.
References
Badawi, A. (2006). Islam Hadhari.
L. Danny (2022). We Are Marching Now, The Inside Story of Bersih 1.0
Wong, S., & Pelanduk Publications. (2016). Being Abdullah Ahmad Badawi : the authorised biography. Daljit Singh, & Salazar, L. C. (2006). Southeast Asian affairs 2006.
Penulisan yang baik dan mudah di fahami